Jump to content
Sign in to follow this  
admin

PENGURUSAN KESUBURAN BAJA PADI (PART 1)

Recommended Posts

BajaPadi1a.jpg
PENGURUSAN KESUBURAN TANAH TANAMAN PADI dan nutrien merupakan satu aspek penting didalam usaha mempastikan penghasilan padi yang optima. Tanaman Padi (Oryza sativa) merupakan satu industri pertanian penting di Malaysia selepas industri Kelapa Sawit dan Getah dari segi keluasan dan produktiviti. Bagaimana pun tanaman padi di beberapa kawasan jelapang padi di negara kita masih memerlukan kos yang tinggi setiap tahun didalam usaha mempastikan keselamatan makanan ruji penduduk negara ini akan terus dijamin. Keluasan tanaman padi pada tahun 2018 mengikut Buku Stastistik Jabatan Pertanian Malaysia adalah seluas 689,810 hektar daripada seluas 300,446 hektar kawasan parsel padi. Daripada keluasan parsel padi 300,446 hektar seluas 210,708 hektar (70.1%) adalah didalam kawasan jelapang padi dan seluas 89,738 hektar adalah sawah padi di Luar Kawasan Jelapang. Data CCS Kebangsaan (Crop Cutting Survey) atau produktiviti tanaman padi di Malaysia adalah sebanyak 4,443 kg sehektar setahun. Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 3,064,822 metrik tan padi pada tahun 2018 dan apabila padi ini diproses menjadi beras ia telah menghasilkan sebanyak 1,975,770 metrik tan beras. Terdapat beberapa varieti padi yang popular ditanam di Seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia antara varieti padi yang popular adalah seperti MR220CL2 (44.6%), MR297 (31.6%), MR219 (8.2%), MR263 (4.8%), MR 284 (4.8%). Lain-lain varieti yang popular ditanam untuk musim utama 2018 ini adalah seperti MR220, MR269, MRQ76, MR211 dan MR220CL1. Tanaman padi merupakan antara tanaman penting di negara kita yang mendapat suntikan kewangan tinggi setiap tahun sebagai insentif kepada pesawah untuk menghasilkan makanan utama di kalangan rakyat tempatan. Pelbagai bantuan seperti insentif diberikan oleh kerajaan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Makanan dengan pelbagai jenis insentif. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" mengenai sebuah laporan kajian oleh MARDI bagaimana menguruskan kesuburan tanah dan nutrien untuk kawasan penanaman padi di Malaysia bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukkan semua. Artikel ini dirujuk dari e-Bulletin MARDI Bil 8/2015 - 44 yang disesuaikan semula penulis blog.

BajaPadi1b.jpg
Pengurusan tanah merupakan salah satu komponen utama dalam menentukan kejayaan dan kegagalan petani dalam mengurus tanaman. Ini kerana tanah akan menentukan jenis tanaman yang sesuai untuk ditanam dan mempengaruhi pertumbuhan, hasil serta kualiti tanaman. Pengurusan tanah yang betul perlu dipraktikkan sebelum aktiviti penanaman dijalankan. Perkara ini bukan sahaja penting bagi keperluan pokok akan tetapi dapat memelihara kesuburan dan kandungan nutrien agar aktiviti penanaman pada musim seterusnya dapat memberi hasil yang optimum. Pengetahuan berkaitan tanah seperti status kesuburan, kemasaman dan lain-lain merupakan kelebihan kepada petani dalam usaha meningkatkan hasil tanaman kerana setiap tanah mempunyai tahap kesuburan yang berbeza dan bergantung kepada jenis tanah bagi sesuatu kawasan. Pengurusan nutrien pula merupakan amalan yang digunakan untuk mengurus kadar, bentuk, peletakan dan masa penggunaan nutrien (sama ada baja kimia, baja organik dan lain-lain) kepada tanaman. Ia bertujuan untuk memberi bekalan nutrien mengikut peringkat pertumbuhan pokok supaya nutrien dapat dimanfaat oleh tanaman untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil yang optimum. Selain itu, ia berperanan untuk mengekal atau membaiki kesuburan tanah. Baja merupakan keperluan input terpenting yang perlu diguna pakai dalam pertanian moden apabila pengeluaran hasil pertanian yang tinggi diutamakan oleh sesebuah negara. Pengeluaran hasil yang tinggi bagi varieti padi yang mempunyai tempoh matang singkat hanya boleh dicapai melalui pembajaan yang sempurna, kepadatan tanaman yang tinggi dan penerimaan cahaya matahari yang optimum. Pengurusan pembajaan yang bijak amat penting untuk mendapat pulangan hasil yang maksimum. Syor pembajaan padi negara juga berubah dengan perkembangan pesat amalan tanaman tabur terus pada akhir tahun 80-an. Perubahan syor pembajaan berubah bagi memenuhi keperluan nutrien oleh tanaman tabur terus yang didakwa mempunyai jangka masa lebih panjang di sawah berbanding dengan tanaman ubah.

BajaPadi1c.jpg
Di seluruh dunia termasuk Malaysia aktiviti penanaman padi merupakan industri pertanian negara yang tertua yang perlu diberi perhatian kerana beras merupakan sumber makanan utama penduduk kepada Malaysia. Pengeluaran padi perlu untuk terus ditingkatkan bagi memastikan akan permintaan beras negara sentiasa dipenuhi. Antara faktor utama yang mempengaruhi peningkatan hasil padi ialah kesuburan tanah dan keperluan nutrien tanaman. Tanah mempunyai siri dan kelas kesuburan yang berbeza. Terdapat tiga jenis tanah bagi kebanyakan tanah sawah di Malaysia iaitu lanar laut, lanar sungai dan organik yang berbeza kandungan bahan induk, ciri fizikal dan kimia yang mempengaruhi tahap kesuburannya. Tanah yang subur berupaya untuk membekalkan nutrien bermanfaat dengan kadar yang sesuai di samping meningkatkan keupayaan tanaman menyerap nutrien bagi memperoleh hasil padi tinggi. Semakin tinggi hasil, bermakna semakin baik pengambilan dan perpindahan nutrien daripada tanah ke pokok. Sejak kebelakangan ini dilaporkan hasil padi menurun dan serangan penyakit seperti bintik perang meningkat terutama di kawasan IADA Barat Laut Selangor. Antara faktor yang dikenal pasti ialah tahap kesuburan tanah yang rendah. Keadaan ini berlaku kerana petani hanya menitikberatkan pengurusan nutrien sahaja dan mengabaikan pengurusan kesuburan tanah.

BajaPadi1d.jpg
Kesuburan tanah amat penting bagi memastikan pokok dapat menyerap baja dengan berkesan. Ciri-ciri fizikal tekstur tanah yang sesuai untuk tanah sawah ialah lempung, lempung berkelodak dan lom lempung. Ciri-ciri kimia tanah seperti pH basah yang sesuai untuk tanaman padi ialah pH5.5 - 6.5 dan bagi pH kering pH4.5 - 5.4. Manakala nilai Keupayaan Pertukaran Kation (KPK/CEC) mestilah melebihi 16 mol (+)/kg. Sekiranya kurang, baja tidak dapat dipegang oleh akar pokok dan menyebabkan pokok tidak dapat hidup dengan subur. Keadaan ini akan menyebabkan pembaziran input baja dan hasil menjadi rendah. Tanaman padi memerlukan 17 unsur nutrien untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil yang baik. Sebanyak tiga unsur nutrien terdiri daripada unsur bukan mineral [karbon (C), hidrogen (H) dan oksigen (O)] dan 14 unsur lagi ialah unsur mineral. Nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) ialah unsur primer yang diperlukan dalam kuantiti yang banyak oleh pokok padi, manakala magnesium (Mg), kalsium (Ca) dan sulfur (S) ialah unsur sekunder dan selebihnya merupakan unsur mikro [zink (Zn), silika (Si), kuprum (Cu), boron (B), ferum (Fe), mangan (Mn), molibdenum (Mo) dan klorin (Cl)] dan kekurangannya jarang berlaku di negara ini. Artikel ini mempunyai 2 part untuk dibaca bersama iaitu Part 1 dan Part 2. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
BajaPadi1e.jpg
TANAMAN PADI... DIKAWAL AIRNYA...
TANAH SUBUR ... DIBERIKAN BAJA...
PELBAGAI NUTRIEN...DIPERLUKANYA...
MEMBACA ARTIKEL... INFO DITERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(21 Ramadan 1441H).

Share this post


Link to post
Share on other sites

Join the conversation

You can post now and register later. If you have an account, sign in now to post with your account.

Guest
Reply to this topic...

×   Pasted as rich text.   Paste as plain text instead

  Only 75 emoji are allowed.

×   Your link has been automatically embedded.   Display as a link instead

×   Your previous content has been restored.   Clear editor

×   You cannot paste images directly. Upload or insert images from URL.

Sign in to follow this  



×
×
  • Create New...