Jump to content
Sign in to follow this  
admin

PENGURUSAN KESUBURAN BAJA PADI (PART 2)

Recommended Posts

BajaPadi2g.jpg
PENGURUSAN KESUBURAN TANAH TANAMAN PADI dan nutrien merupakan satu aspek penting didalam usaha mempastikan penghasilan padi yang optima. Tanaman Padi (Oryza sativa) merupakan satu industri pertanian penting di Malaysia selepas industri Kelapa Sawit dan Getah dari segi keluasan dan produktiviti. Bagaimana pun tanaman padi di beberapa kawasan jelapang padi di negara kita masih memerlukan kos yang tinggi setiap tahun didalam usaha mempastikan keselamatan makanan ruji penduduk negara ini akan terus dijamin. Keluasan tanaman padi pada tahun 2018 mengikut Buku Stastistik Jabatan Pertanian Malaysia adalah seluas 689,810 hektar daripada seluas 300,446 hektar kawasan parsel padi. Daripada keluasan parsel padi 300,446 hektar seluas 210,708 hektar (70.1%) adalah didalam kawasan jelapang padi dan seluas 89,738 hektar adalah sawah padi di Luar Kawasan Jelapang. Data CCS Kebangsaan (Crop Cutting Survey) atau produktiviti tanaman padi di Malaysia adalah sebanyak 4,443 kg sehektar setahun. Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 3,064,822 metrik tan padi pada tahun 2018 dan apabila padi ini diproses menjadi beras ia menghasilkan sebanyak 1,975,770 metrik tan beras. Terdapat beberapa varieti padi yang popular ditanam di Seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia antara varieti padi yang popular adalah seperti MR220CL2 (44.6%), MR297 (31.6%), MR219 (8.2%), MR263 (4.8%), MR 284 (4.8%). Lain-lain varieti yang popular ditanam untuk musim utama 2018 ini adalah seperti MR220, MR269, MRQ76, MR211 dan MR220CL1. Tanaman padi merupakan antara tanaman penting di negara kita yang mendapat suntikan kewangan tinggi setiap tahun sebagai insentif kepada pesawah untuk menghasilkan makanan utama di kalangan rakyat tempatan. Pelbagai bantuan seperti insentif diberikan oleh kerajaan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Makanan dengan pelbagai jenis insentif. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" mengenai sebuah laporan kajian oleh MARDI bagaimana menguruskan kesuburan tanah dan nutrien untuk kawasan penanaman padi di Malaysia bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukkan semua. Artikel ini dirujuk dari Bulletin MARDI Bil 8/2015 - 44 yang disesuaikan semula penulis blog.

BajaPadi2f.jpg
Kekurangan salah satu daripada unsur primer akan terus mengganggu proses tumbesaran tanaman. Dalam keadaan biasa, unsur-unsur tersebut selalunya wujud walaupun dalam jumlah yang amat rendah. Jika jumlah yang wujud itu kurang daripada keperluan optimum, tumbesaran tanaman tetap akan berlaku, tetapi kecacatan atau gejala kekurangan nutrien boleh kelihatan. Kesan kekurangan unsur penting nutrien dalam tanaman padi. Kekurangan unsur Nitrojan (N) akan menyebabkan tanaman padi dan daun berwarna hijau muda, daun bawah menjadi kuning, tangkai menjadi pendek dan kecil. Kekurangan unsur Posforan (P) pula menjadikan tanaman berwarna hijau tua, bantut dan kurang anak. Kekurangan unsur Kalium (K) menyebabkan daun berbintik atau berklorosis, tompok-tompok kecil nekrotik di antara urat daun atau berhampiran hujung daun. Kekurangan unsur Zink (Zn) menyebabkan tompok-tompok nekrosis besar dan menyeluruh, selalunya melibatkan urat daun. Kekurangan Sulfur (S) pula menjadikan tanaman padi ini berwarna hijau pucat dan daun muda berwarna hijau muda. Kekurangan Silikon (Si) akan menyebabkan daun menjadi lembut dan terkulai. Kekurangan Magnesium (Mg) menyebabkan tanaman padi jadi kuning keorenan dan klorosis pada daun tua. Kekurangan Kalsium (Ca) menjadikan hujung daun muda menjadi putih, bergulung dan berpintal. Kekurangan zat Besi (Fe) menjadikan keseluruhan daun menjadi klorotik, pucat dan kekuningan. Kekurangan sterusnya unsur Manganese (Mn) boleh menyebakan berlakunya masaalah Klorosis daun pucat berwarna kelabu kehijauan merebak dari hujung ke pangkal daun. Kekurangan unsur Boron (B) boleh menyebabkan pokok padi jadi rendah, hujung daun muda bergulung. Kekurangan unsur Kuprum (Cu) pula boleh menyebabkan kesan nekrotik merah tua pada hujung daun. Peranan pesawah penting didalam melihat simptom kekurangan nutrien dengan baik.

BajaPadi2a.jpg
Kadar baja nitrogen (N) yang mencukupi diperlukan semasa peringkat vegetatif bagi memastikan pokok berkualiti tinggi. Jangka masa yang panjang bagi pokok yang subur akan memberi masa untuk pokok membentuk biji padi yang berkualiti. Penggunaan nitrogen dengan kadar yang tinggi akan meningkatkan tinggi pokok/ panjang batang, panjang tangkai, berat tangkai dan seterusnya pokok menjadi mudah rebah. Penggunaan baja nitrogen adalah amalan biasa di kebanyakan sistem pengeluaran padi. Untuk mencapai hasil 5 - 7 t/ha kadar baja nitrogen kebiasaannya ialah 80 - 150 kg/ha. Baja fosforus (P) pula penting di peringkat awal tumbesaran bagi tujuan pembentukan akar dan juga padi berbunga. Manakala penggunaan kadar baja kalium (K) yang tinggi pada peringkat reproduktif memanjangkan lagi proses didalam pembentukan biji padi, menambah bilangan buah, peratus bernas dan berat biji padi. Penggunaan kalium pada kadar tertentu dapat mengurangkan kejadian padi rebah. Apa pun penulis blog Anim Agro Technology mendapati penting ilmu pengetahuan mengenai status nutrien semula jadi tanah dapat membantu petani menguruskan penggunaan baja mengikut keperluan setempat. Pemeriksaan tanah sawah perlu dilakukan terlebih dahulu dengan mengambil sampel tanah sebelum bermula musim penanaman seelokeloknya dua atau tiga musim sekali. Sampel tanah perlu dianalisis untuk menentukan status kesuburannya (Sila lihat foto disebelah). Sampel daripada 10 lokasi/ha diambil secara rawak dengan dua kedalaman iaitu 0 - 20 cm dan 20 - 40 cm. Kaedah rawatan tanah yang boleh dipraktikkan oleh petani adalah menabur kapur jika pH kering bawah aras 4.5 dengan menggunakan mesin penabur lime separator (Gambar 3). Untuk meningkatkan 1 pH tanah, 10 tan kapur diperlukan. Kos upah menggunakan mesin ini di Barat Laut Selangor adalah sebanyak RM100/ha. Selain itu, kapur cecair juga  boleh digunakan sebagai alternatif sekiranya kapur debu tidak dapat ditabur ketika musim hujan semasa peringkat penyediaan tanah.

BajaPadi2b.jpg
Bagi meningkatkan KPK tanah, penggunaan baja organik boleh digunakan. Baja organik secara semula jadi mampu membekalkan nutrien iaitu pada kadar rendah secara berterusan dan seimbang. Baja tahi ayam merupakan salah satu baja organik yang berkesan dan menjimatkan berbanding dengan baja tahi cacing. Baja ini perlu dirawat (bebas daripada patogen) dan diproses dalam bentuk pelet untuk memudahkan kerja menabur dengan menggunakan mesin penabur. Kadar baja tahi ayam yang diperlukan ialah 200 kg/ha untuk satu musim berbanding dengan baja tahi cacing yang memerlukan kuantiti yang banyak (1 tan dengan harga RM1.50/kg). Menurut kajian yang dijalankan oleh MARDI, didapati baja tahi cacing yang diperlukan bagi meningkatkan hasil ialah 1 t/ha. Status nutrien tanaman padi terutama unsur nitrogen dapat ditentukan dengan menggunakan SPAD meter iaitu satu alat yang dapat mengukur kandungan klorofil dalam daun. Carta warna daun pula lebih praktikal dan ekonomi untuk ianya digunakan oleh petani kerana harga SPAD meter yang terlalu mahal. Penambahan baja nitrogen seperti urea perlu diberi seandainya baja tersebut tidak mencukupi (sekiranya warna daun berada di skala 1 dan 2 carta warna daun). Bagi mengoptimumkan kecekapan penggunaan baja, strategi pengurusan nutrien yang sempurna perlu dilaksanakan terutama jadual masa dan kadar pembajaan. Jadual masa pembajaan bergantung pada tempoh matang dan peringkat pertumbuhan sesuatu varieti padi. 

BajaPadi2e.jpg
Amalan pembajaan perlu diberi mengikut peringkat pertumbuhan tanaman padi iaitu peringkat tiga helai daun, pembiakan aktif, bunting kecil dan terbit tangkai (Sila lihat foto paling bawah sekali). Sebagai contoh, varieti padi MR 263 yang mempunyai tempoh  matang 100 – 105 hari perlu dibaja pada peringkat hari lepas tabur (HLT) seperti yang berikut: 10 - 15 (tiga helai daun), 25 - 30 (pembiakan aktif), 45 - 50 (bunting kecil) dan 65 - 70 (terbit tangkai). Baja nitrogen perlu diberi masing-masing pada kadar 20, 31, 35 dan 14% pada setiap peringkat tersebut. Kadar pembajaan yang disyorkan oleh MARDI bagi luar musim ialah 120:70:80 kg N, P2O5 dan K2O sehektar. Manakala kadar baja nitrogen perlu ditambah 15% bagi musim utama. Perbezaan penambahan ini disebabkan kedua-dua musim penanaman padi berbeza dari segi cuaca (taburan hujan yang lebih tinggi pada musim utama) yang mempengaruhi kehilangan baja nitrogen dari petak sawah melalui proses larut resap. Selain itu, baja dedaun juga boleh digunakan pada peringkat akhir pertumbuhan tampang, selepas bunting kecil atau apabila terdapat simptom kekurangan nutrien pada daun. Sebagai kesimpulan bagi mencapai pengeluaran hasil yang tinggi maka satu anjakan paradigma dalam amalan pengurusan tanah dan nutrien amat diperlukan. Kedapatan nutrien dalam tanah perlu dikenal pasti terlebih dahulu untuk mengetahui status kesuburan tanah seterusnya mendapat faedah dengan pengurusan nutrien yang efisien. Dengan mengekalkan status nutrien yang seimbang menerusi amalan pengurusan baja yang cekap, dalam jangka masa panjang, tanah yang subur dan berpotensi tinggi mampu diwujudkan. Artikel ini mempunyai 2 part untuk dibaca bersama iaitu Part 1 dan Part 2. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
BajaPadi2c.jpg
TANAMAN PADI... DIKAWAL AIRNYA...
TANAH SUBUR ... DIBERIKAN BAJA...
PELBAGAI NUTRIEN...DIPERLUKANYA...
MEMBACA ARTIKEL... INFO DITERIMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(21 Ramadan 1441H).

Share this post


Link to post
Share on other sites

Join the conversation

You can post now and register later. If you have an account, sign in now to post with your account.

Guest
Reply to this topic...

×   Pasted as rich text.   Paste as plain text instead

  Only 75 emoji are allowed.

×   Your link has been automatically embedded.   Display as a link instead

×   Your previous content has been restored.   Clear editor

×   You cannot paste images directly. Upload or insert images from URL.

Sign in to follow this  



×
×
  • Create New...